suria

Nurul Izzah Beri Keterangan Berhubung Artikelnya

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memberi keterangan terhadap satu laporan polis yang dibuat Perkasa berhubung artikel penulisannya, 2 September lepas.

Nurul Izzah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu, ditemani peguam Latheefa Koya untuk memberi keterangan berhubung artikelnya yang didakwa menyentuh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Artikel itu yang disiarkan oleh portal Malaysian Insider antara lain mendakwa, 'hak keistimewaan' orang Melayu tidak disebut sebaliknya Perkara 153 hanya menjelaskan mengenai 'kedudukan istimewa' masyarakat Bumiputera.

"Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah meminta supaya mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan negara diubah atau dimansuhkan.

"Sebaliknya, saya mencari ruang berwacana dengan Perkasa demi merungkai isu-isu utama yang berkait dengan hala tuju pembangunan serta masa depan negara," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kira-kira satu setengah jam.

Nurul Izzah menegaskan beliau menyokong penuh Perlembagaan negara termasuk artikel 153, institusi Diraja, agama Islam selaku agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut laman web Perkasa bertarikh 2 September 2010, Ketua Wirawati Perkasa Zaira Jaafar telah membuat laporan polis terhadap Nurul Izzah berhubung kenyataannya dalam artikel yang disiarkan dalam portal tersebut.

Nurul Izzah juga mendakwa, hak Melayu hanyalah sekadar falsafah serta ideologi dan bukannya undang-undang atau Perlembagaan selain menegaskan agenda Melayu yang terkandung dalam Perkara 153 juga bersifat sementara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain