suria

Kajian Teknikal MRT Siap Bulan depan

PETALING JAYA: Kajian teknikal projek Sistem Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) Lembah Klang dijangka selesai awal bulan depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, satu laporan berhubung kajian tersebut akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pelaksana tentang Sistem Pengangkutan Bersepadu Lembah Klang yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

"Kajian oleh SPAD dan perunding dilantik oleh Kementerian Kewangan iaitu Minconsult Sdn Bhd akan disiapkan sebelum kertas cadangan dibentangkan kepada Kabinet," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka SPAD di sini, Rabu.

Rangkaian MRT sepanjang 150 kilometer (km) itu meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari pusat bandar.

Projek dianggarkan bernilai RM36 bilion itu adalah hasil usahasama MMC Corporation Berhad dan Gamuda Berhad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal menjelaskan kajian teknikal tersebut merangkumi satu penilaian oleh kedua-dua pihak itu tentang kebarangkalian pelaksanaan projek tersebut.

Antara aspek yang akan dikaji, katanya ialah koridor dan penyelarasan, kejuruteraan, serta impak persekitaran dan sosial.

Mengenai High Speed Rail (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, Mohd Nur memberitahu, satu kajian akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, kajian itu turut mempertimbangkan perkara-perkara baru yang direkodkan dalam Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA) hasil perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kerajaan Singapura.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain