suria

Gobalakrishnan Tawar Diri Tanding Jawatan Naib Presiden PKR

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu akan datang.

Gobalakrishnan berkata beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan itu sekali lagi walaupun kecundang sebelum ini kerana mahu barisan kepimpinan tertinggi parti berkenaan mempunyai lebih banyak wakil daripada kaum India.

“Saya menerima beberapa pencalonan untuk bertanding bagi jawatan VP (naib presiden) dan bercadang mengumumkankannya selepas pencalonan ditutup.

Bagaimanapun, para penyokong saya mendesak agar saya mengumumkannya lebih awal supaya ia diketahui anggota parti.

"Dengan mengumumkannya lebih awal, sekurang-kurangnya mereka tahu saya serius untuk bertanding bagi jawatan ini kerana ada beberapa pihak yang pergi ke merata tempat untuk memberitahu anggota perwakilan tentang mereka yang menjadi calon pilihan," katanya, Rabu.

Gobalakrishnan berkata satu lagi sebab beliau bertanding jawatan itu ialah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada anggota PKR dalam menghidupkan semangat "reformasi" dalam parti berkenaan.

Sehingga kini, 20 orang telah menyatakan hasrat mereka atau menerima pencalonan untuk merebut empat jawatan naib presiden, termasuk ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam dan Ketua Pemuda Shamsul Iskandar.

PKR di peringkat cabang telah mengadakan mesyuarat sejak minggu lepas dan kesemua 218 cabang itu dijadualkan selesai membuat pencalonan menjelang 3 Oktober.

Pemilihan secara terus bagi jawatan pemimpin parti itu akan diadakan mulai 31 Oktober hingga 21 November, manakala kongres tahunannya akan berlangsung dari 26 hingga 28 November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain