suria

Geng Tepuk Belakang Untuk Curi Kad ATM Ditahan Di Terengganu

SETIU: Tiga lelaki warga Peru dan Argentina ditahan dua hari lepas di Kemaman yang menjalankan aktiviti mencuri kad ATM mangsa ketika mangsa mahu mengeluarkan wang di mesin ATM.

Mereka yang berumur antara 30 dan 60 tahun ditangkap oleh orang ramai yang menyedari perbuatan tersebut.

Polis menganggap kumpulan ini sebagai sindiket antarabangsa yang dikesan aktif di Terengganu sejak dua bulan lalu dengan kerugian yang dilaporkan dialami setakat ini bernilai kira-kira RM30,000.

"Anggota sindiket ini mempunyai kepakaran untuk menukar kad ATM mangsa dengan kad mereka sendiri.

"Taktik mereka ialah apabila mangsa sedang memasukkan kad ATM ke dalam mesin ATM, mereka akan segera menepuk belakang mangsa dan menunjukkan bahawa kononnya sesuatu benda milik mangsa telah tejatuh ke atas lantai dan pada masa yang sama mereka dengan pantas akan menukarkan kad ATM mangsa di mesin ATM dengan kad ATM mereka," kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata kebanyakan kes sebegini berlaku di Setiu, Dungun, Kemaman dan yang terbaru di Besut.

Beliau berkata polis sedang menyiasat sama ada kumpulan ini melakukan kegiatan yang sama di negeri lain.

Mohd Shukri berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer yang boleh membawa denda RM50,000 dan penjara jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain