suria

Ejen Pekerja Asing Dibebaskan Daripada Tuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, Rabu melepaskan dan membebaskan seorang ejen pekerja asing daripada tuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik restoran, tahun lepas.

Hakim Rosbiahanim Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap K. Sivakumar, 36.

Sivakumar didakwa menerima suapan bagi dirinya berjumlah RM10,000 daripada pemilik restoran S.Paramasivam sebagai dorongan kononnya untuk Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Imigresen, Putrajaya supaya pihak Imigresen menutup fail siasatan terhadap pekerja-pekerja Paramasivam dan memulangkan 21 pasport milik pekerja-pekerja pemilik restoran itu yang dikatakan ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen, Putrajaya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sri Paandi, Jalan Tun Sambanthan di sini pada pukul 1.45 pagi, 11 Feb tahun lalu.

Untuk kesalahan itu, Sivakumar didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sivakumar diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin manakala pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari SPRM Asmalinda Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain