suria

Dua Wanita Diragut Dalam Tempoh Sejam Di Bentong

KUANTAN: Seorang warga emas yang sedang menyapu sampah di halaman rumahnya kerugian barang kemas dianggarkan bernilai RM6,000 selepas diragut dua lelaki di Bukit Piatu, Bentong, Selasa. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Nordin Mustapha berkata dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, salah seorang daripada lelaki terbabit menghampiri wanita yang berusia 87 tahun itu, lalu mengacu pisau sebelum meragut rantai dan gelang milik mangsa.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit berusia lingkungan 20-an telah melalui rumah mangsa dengan menaiki motosikal dipercayai untuk meninjau keadaan sekeliling sebelum bertindak melakukan ragut.

Katanya hasil siasatan awal, mangsa menyedari kehadiran kedua-dua lelaki terbabit yang melalui hadapan rumahnya sebelum kejadian, namun menyangkakan mereka merupakan penduduk di situ.

Sejam sebelum kejadian itu, seorang wanita berusia 35 tahun yang sedang berbual dengan jirannya di hadapan rumahnya di Taman Karak Indah, Bentong turut kerugian barang kemas bernilai RM4,000 selepas diragut dua lelaki dipercayai suspek yang sama.

Nordin berkata kedua-dua lelaki itu turut berlegar-legar di hadapan rumah mangsa yang terletak kira-kira dua kilometer daripada kejadian kedua.

"Polis percaya suspek kedua-dua kes ini adalah orang yang sama berdasarkan modus operandi mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain