suria

Tengku Adnan Didesak Mohon Maaf

PETALING JAYA: Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat Umno (Penawar) mendesak Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memohon maaf secara terbuka kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu ekoran tindakan beliau melabelkan mereka sebagai rasis dalam memperjuang hak Melayu dan bumiputera.

Presiden Penawar, Tan Sri Adam Kadir berkata keputusan itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi badan itu.

"Sekiranya Tengku Adnan enggan memohon maaf, pihaknya akan menuntut supaya Umno memecat beliau sebagai Setiausaha Agung Umno," katanya dalam satu kenyataan tiga perenggan di sini pada Isnin.

Adam berkata mesyuarat itu juga bersetuju sebulat suara mendesak Umno supaya bekerjasama dengan Perkasa dan semua NGO Melayu yang memperjuang dan mempertahankan hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Pada 8 September lepas, Tengku Adnan dilaporkan berkata Umno perlu menjauhi Perkasa yang lantang membuat kenyataan ekstrem mengenai isu-isu perkauman.

Selain itu, beliau mendakwa Umno tidak menyokong Perkasa mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap Barisan Nasional.

Artikel Berikut

Artikel Lain