suria

Sidang Kemuncak Wanita Pertama Oktober ini

KUALA LUMPUR: Wanita paling berpengaruh daripada lebih 30 negara asing dijangka menghadiri Persidangan Kemuncak Wanita Pertama 2010 yang diadakan buat julung-julung kalinya di sini bermula 11 hingga 13 Oktober ini.

Inisiatif pertama seumpamanya itu merupakan cetusan idea isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai agenda penting dengan mengetengahkan isu pemerkasaan kanak-kanak agar mereka membesar sebagai pemimpin hebat suatu hari nanti.

Bertema 'Kanak-Kanak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok' itu merupakan inisiatif berskala global yang bertujuan mempertingkatkan kesedaran antarabangsa mengenai pentingnya membuat pelaburan bagi pendidikan dan kebajikan holistik kanak-kanak.

"Kami percaya, anak yang membesar dengan bahagia mampu menjadi pemimpin baik di semua sektor sekali gus membuka ruang dan peluang lebih cerah kepada negara.

"Pada sidang kemuncak itu nanti, semua wanita pertama akan menceritakan pengalaman dan dasar di negara masing-masing untuk mencari penyelesaian kepada sebarang isu berkaitan pendidikan awal dan penjagaan anak," kata Rosmah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Duta di sini, Selasa.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur; Pengarah Institut Pemerkasaan Wanita, Datuk Dr Rafiah Salim dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Sharifah Hapsah.

Sementara itu, Shahrizat memberitahu, lebih 20 buah negara telah mengesahkan penyertaan mereka sehingga kini dan pihaknya menjangkakan jumlah itu terus meningkat sehingga menjelangnya persidangan kemuncak itu nanti.

Mereka terdiri daripada wanita pertama, menteri atau wakil daripada Afghanistan, Albania, Chile, Cyprus, Ghana, Guinea Bissau, Iran, Jamaica, Lesotho, Mali, Mauritius, Mozambique, Seychelles, Sierra Leone, Sudan, Zambia, Tunisia, Azerbaijan dan Sri Lanka.

"Di akhir persidangan itu nanti, satu deklarasi akan dimeterai agar semua wanita pertama dapat membawa pulang agenda baru bagi membantu mereka mengambil tindakan secara strategik di negara masing-masing," katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan Kemuncak Wanita Pertama 2010 dan biodata tetamu yang bakal hadir, layari laman web www.firstladiessummit.org.

Artikel Berikut

Artikel Lain