suria

Ribut Di Kulim: 86 Buah Rumah Rosak Teruk

KULIM: Sebanyak 86 rumah, termasuk 81 rumah di kawasan Ladang Bukit Sedim dan Kampung Padang Ubi dalam Mukim Bagan Sena dekat sini, rosak teruk setelah dilanda ribut pada 1.30 petang Isnin.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim Rohana Mohd Yusuf berkata seramai 19 kakitangan jabatan itu sedang menyiasat jumlah kerugian dan 384 mangsa daripada 61 keluarga yang terlibat di kawasan berkenaan sejak pukul 3 petang.

Beliau berkata seramai 32 keluarga keturunan India kini ditempatkan di sebuah kuil di ladang tersebut, manakala 29 keluarga Melayu di surau ladang berkenaan, dengan dibekalkan makanan serta kemudahan lain oleh JKM.

Sementara itu, pengerusi penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri Kedah Merbau Pulas Abdul Rahman Mahamud dan pengurus ladang berkenaan S.Sivaraj bersetuju melantik seorang kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja membaiki bumbung rumah yang rosak dalam kejadian itu dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

"Peruntukan tersebut adalah dengan bantuan Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) dan kerja-kerja berkenaan akan dimulakan esok," kata Abdul Rahman kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa di ladang itu pada Isnin. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain