suria

Razali Wajar Terima Kekalahan - Azan

KUANTAN: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang mempertahankan jawatan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Indera Mahkota memberi amaran kepada lawannya yang menuduh beliau sengaja mewujudkan masalah dalam cabang berkenaan.

Azan berkata, Razali Alias perlu menghadapi realiti dan menerima kekalahannya pada pemilihan parti Sabtu lalu sebagai sebahagian proses demokrasi.

Dengan melabelkan Razali sebagai ‘orang yang marah apabila kalah’, Azan mendakwa Razali menggunakan kedudukan dan kepimpinan negeri untuk menyertai parti itu melalui pengaruh Pengerusi PKR Negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

“Setakat apa yang saya tahu dia (Razali) hanya seorang pemimpin cabang PKR dari Dungun. Selepas itu dia dilantik sebagai Setiausaha PKR Negeri,” katanya dalam satu temubual bersama The Star pada Isnin.

Pada pemilihan PKR peringkat bahagian Sabtu lalu, Azan memenangi jawatan Ketua Bahagian Indera Mahkota dengan memperoleh 135 undi berbanding Razali yang menerima 99 undi.

Terdahulu, Azan mencabar Fauzi untuk bertanding menentang beliau untuk jawatan Ketua Bahagian namun pemimpin PKR itu menolak cadangan tersebut dengan alasan mahu memberikan fokus kepada pengukuhan peringkat negeri dan beliau mahu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin yang lebih muda mengendalikan peringkat bahagian.

Azan berkata, tindakan Razali mengkritiknya secara terbuka dan memberi kata dua tidak akan menyokong bahagian itu jelas menunjukkan dia tidak faham mengenai etika parti dan menunjukkan dirinya tidak sesuai untuk menajdi seorang pemimpin.

“Dia mempunyai hak untuk mengemukakan aduan di ibu pejabat parti dengan menggunakan saluran yang betul tetapi memberi kata dua atau mengancam dengan menyatakan tidak mahu memberikan sokongan kepada bahagian merupakan tindakan yang tidak betul.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan dia sekali lagi jika pemilihan semula diadakan tetapi keputusan ini mesti dibuat oleh pucuk pimpinan,” katanya.

Mengenai dakwaan Razali berhubung kewujudan pengundi hantu pada pemilihan Sabtu lalu, Azan menyifatkan alasan tersebut sebagai tidak benar dan sengaja digunakan oleh orang yang kalah.

Beliau berkata terdapat tiga pemantau dari biro pilihan raya PKR memantau perjalanan proses pemilihan dan pengiraan undi dijalankan.

“Terdapat 400,000 ahli parti di Pahang yang layak mengundi dan memilih pemimpin mereka,” katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain