suria

Permasyhuran Sultan Kelantan Yang Baru Dicabar

KUALA LUMPUR: Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra telah memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan di sini pada Isnin bagi mencabar pemasyhuran anakanda sulung Baginda, Sultan Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah, kata peguam, Datuk Param Cumaraswamy.

Beliau berkata, pihaknya telah meminta mahkamah untuk campurtangan dan mengisytiharkan Baginda sebagai Sultan Kelantan yang sah.

Pada sidang medianya pada Isnin, Param berkata, Tuanku Ismail, 60 tidak mengiktiraf pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail sebagai Sultan Kelantan yang sah pada 13 September lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan bahawa Tengku Muhammad Faris telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan Sultan Ismail Petra yang menghidap stroke sejak Mei 2009.

Baginda yang uzur pada ketika itu mula mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura pada 24 Mei tahun lalu dan pulang ke Istana Mahkitan pada 4 Mac lalu selepas kira-kira 10 bulan mendapatkan rawatan.

Param mendakwa istiadat permasyuharan telah menjejaskan kedudukan anak guamnya.

Dua persoalan yang diketengahkan untuk didengar oleh Mahkamah Persekutuan ialah sama ada Tengku Mahkota mempunyai kuasa penuh sebagai sultan untuk melantik semula Majlis Perajaan Negeri dan untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkannya menaiki takhta.

Menurut Param, wujud dua isu perundangan ekoran pindaan perlembagaan negeri dan pelantikan Tengku Mahkota sebagai sultan. Pertamanya, kata beliau, pramasa bagi Tengku Mahkota mengambil alih kuasa yang diberikan kepada sultan memandangkan isu berkenaan masih dipertimbangkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Keduanya, menurut beliau, status Majlis Perajaan Negeri sendiri sedang dipertikaikan boleh memilih dan melantik Tengku Mahkota sebagai Sultan Kelantan.

Hari ini, petisyen ketiga difailkan untuk meminta pandangan Mahkamah Persekutuan sama ada Tengku Muhammad Faris sebagai Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan mempunyai kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk membuat pindaan.

Kata beliau, oleh kerana isu-isu itu kini telah dibawa ke perhatian Mahkamah Persekutuan, maka mereka yang menasihatkan Tengku Mahkota harus mengelak daripada melakukan perkara yang boleh prejudis petisyen didengar.

Mahkamah Persekutuan dijadual untuk memutuskan sama ada mereka mempunyai budi bicara untuk mendengar dua petisyen pertama pada 23 Oktober ini.

Kata Param, kemungkinan mahkamah juga akan memutuskan petisyen yang ketiga.

“Kami mahu panel penuh Mahkamah Persekutuan mendengar kerana kes ini mempunyai kesan mendalam membabitkan negeri-negeri lain yang mempunyai sultan,” kata beliau.

Artikel Berikut

Artikel Lain