suria

Pekerja Kilang Yang Dilapor Hilang Tiga Hari Lepas Ditemui Mati

SEREMBAN: Seorang pekerja kilang yang dilapor hilang sejak Sabtu lepas ditemui mati dalam longkang besar di tepi Jalan Seremban-Tampin berhampiran Kampung Baru Rahang di sini hari ini.

Mayat M. Krishnan, 40, dari Bandar Seremban Selatan, ditemui oleh pekerja kontrak pada pukul 9.30 pagi. Turut dijumpai tidak jauh dari mayat itu ialah motosikal milik lelaki itu.

Mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terlentang dengan topi keledar masih terikat dikepalanya.

Mayat itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, kata jurucakap polis.

Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban terpaksa menggunakan tangga dan pengusung untuk membawa mayat yang telah berbau dan berulat itu keluar dari longkang terbabit.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya motosikal yang ditunggang lelaki itu terbabas dan jatuh ke dalam longkang besar berkenaan, katanya.

Menurut abang mangsa, Devendren, 56, adiknya Nalammah, 41, membuat laporan polis di Balai Polis Senawang pada pukul 3 petang Sabtu lepas setelah Krishnan tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata Krishnan mempunyai isteri dan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain