suria

Kuasa Majlis Peguam Terhad – Ragunath

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam mendakwa badan itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat kehidupan peribadi termasuk memantau kekayaan mahupun aset yang dimiliki oleh mana-mana ahlinya.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, sebagai sebuah badan berkanun majlis itu hanya boleh bertindak terhadap perkara-perkara yang melibatkan profesyen guaman sahaja.

“Kuasa kami amat-amat terhad kerana kami hanya boleh memantau hal-hal yang berkaitan dengan amalan guaman ahli-ahli yang berdaftar di Semenanjung Malaysia.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk memantau hal-hal peribadi seperti akaun bank persendirian atau tindakan-tindakan mereka yang di luar profesyen guaman mereka,” katanya kepada pemberita di pejabat Majlis Peguam di sini pada Selasa.

Ragunath berkata, badan itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat salah laku jenyah yang dilakukan oleh mana-mana peguam.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam membantu membanteras mengenai isu penyelewengan wang yang berlaku dikalangan peguam di negara ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa mana-mana ahli yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah maka nama mereka akan dikeluarkan daripada senarai daftar peguam cara dan peguam bela yang berdaftar dengan kami,” katanya.

Mengenai isu pemilikan aset kekayaan luar biasa yang dimiliki oleh suspek adik-beradik yang juga merupakan peguam, beliau berkata, badan itu turut tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat mengenai perkara berkenaan.

“Kami tidak mempunyai kuasa untuk memantau hal-hal peribadi seorang peguam sebaliknya badan-badan penguatkuasaan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh mengambil tindakan dan menjalankan ke atas perkara tersebut.

“Pihak kami juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa dalam memberikan maklumat mengenai peguam yang terlibat dengan kes-kes penyelewengan mahupun jenayah yang lain,” ujarnya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan, Ragunath berkata, kira-kira 30 orang peguam telah dilucutkan daripada menjadi peguam cara dan peguam bela oleh Mahkamah Tinggi turut dipecat lembaga disiplin badan berkenaan kerana terlibat dengan kes penyelewengan.

“Kami memandang serius isu salah laku ahli-ahli dan kami sedia membantu pihak berkuasa dalam membanteras masalah ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Ragunath berkata, kedua-dua suspek yang ditahan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain telah pun dilucutkan keahliaan dan nama mereka telah dikeluarkan daripada senarai daftar peguam cara dan peguam bela yang berdaftar dengan Majlis Peguam sejak 5 November 2009.

“Bagaiamanapun, mereka masih lagi boleh melaksanakan profesyen guaman mereka kerana Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menangguhkan keputusan penggantungan keahliaan mereka yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Majlis Peguam selepas mereka membuat rayuan.

“Orang ramai boleh membuat semakan di laman web kami terhadap mana-mana peguam yang telah dilucutkan daripada senarai peguam cara dan peguam bela kerana salah laku jenayah,” katanya.

Selain itu, Majlis Peguam turut merayu kepada pihak media dan orang ramai tidak membuat spekulasi dan andaian berbuhung kes pembunuhan tersebut.

“Pada hemat kami akan menjejaskan kes perbicaraan ini di mahkamah. Mana-mana orang kena tuduh (OKT) berhak mendapatkan pembelaan di bawah undang-undang jenayah berlandaskan konsep seseorang itu tidak akan bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Kami tidak akan membela mana-mana ahli kami yang terlibat dengan apa-apa salah laku jenayah. Kami juga mengalu-alukan tindakan tegas pihak polis terhadap mana-mana ahli kami yang terlibat dalam salah laku jenayah dan penyelewengan,” katanya. Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek telah mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

Dua daripada suspek utama kes pembuhuan tersebut merupakan peguam adik beradik yang mana salah seorang daripada mereka mendakwa dirinya bergelar Datuk.

Artikel Berikut

Artikel Lain