suria

Jenapala Dakwa Wujud Salah Guna Kuasa Dalam Pemilihan PKR

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Jenapala Perumal mendakwa wujudnya salah guna kuasa dan penggunaan jentera kerajaan oleh sesetengah calon yang menawarkan diri pada pemilihan parti itu, yang dijadual November ini.

Beliau berkata terdapat anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, terutama dari Selangor, yang didapati menggunakan kedudukan mereka, bergerak ke seluruh negara berkempen untuk calon pilihan.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat PKR dan isterinya, presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail perlu tampil membuat penjelasan sama ada perkara itu benar-benar terjadi atau sebaliknya, ataupun dakwaan PKR sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dalam pemilihan seperti yang dibanggakan, akan dipertikai.

"Saya terperanjat mendengar anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor yang menggunakan jentera kerajaan dan kedudukan mereka dalam berkempen untuk calon pilihan. Mereka malah menjelajah ke seluruh negara bagi meraih sokongan untuk calon pilihan," katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata Anwar juga perlu bertindak segera untuk menghentikan taktik pihak tertentu menggunakan namanya bagi meraih sokongan kerana ia bertentangan dengan amalan demokrasi dalam PKR yang membenarkan sesiapa sahaja bertanding.

Jenapala Perumal turut mendesak Anwar agar segera bertindak terhadap pihak tertentu yang secara jelas melaburkan wang bagi meraih sokongan dengan berselindung di sebalik majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri.

"Ribuan ringgit telah dihabiskan untuk majlis makan malam dan hamper yang diberikan atas nama rumah terbuka dan kini untuk pesta tanglung...Perkara ini perlu dihentikan segera oleh pemimpin parti. Kesemua ini merupakan proses yang amat tidak sihat," katanya.

Beliau yang meletakkan jawatan pada 2008, juga mendakwa dinafikan peluang bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah tiga pencalonan yang diterimanya ditolak Jawatankuasa Pemilihan Parti.

Anggota PKR Ipoh Barat itu mendakwa beliau memperoleh tiga pencalonan daripada cabang Ipoh Barat, Batu Gajah dan Beruas parti itu yang bermesyuarat semalam, sekali gus melayakkannya bertanding.

Bagaimanapun, katanya, pencalonan tersebut ditolak oleh pemantau pemilihan Dr Lee Boon Chye dengan alasan beliau bukan lagi anggota parti, sedangkan semakan di ibu pejabat PKR Jumaat lalu menunjukkan keanggotaannya masih sah. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain