suria

Suami Isteri Maut Dalam Kemalangan Di Jambatan Pulau Pinang, Rakan Jatuh Ke Laut

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri muda maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka merempuh besi selusur Jambatan Pulau Pinang dalam satu kemalangan di sini malam tadi, manakala seorang daripada tiga penumpang MPV itu tercampak keluar daripada kenderaan tersebut dan jatuh ke dalam laut.

Ketua Trafik Pulau Pinang DSP Abdul Rahim Md Din berkata remaja berumur 17 tahun yang tercampak ke dalam laut itu kemudiannya berenang ke salah satu tiang jambatan sebelum diselamatkan oleh polis marin kira-kira pukul 1.30 pagi.

Beliau berkata pemandu MPV itu Teh Boh Yi, 17, dari Sungai Rambai Bukit Mertajam dan isterinya Khor Lee Mui, 17, dari Mukim 8 Tanah Liat Bukit Mertajam, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada kira-kira pukul 1 pagi akibat kemalangan pada kira-kira pukul 11 malam itu.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku semasa kenderaan yang dipandu Teh dalam perjalanan menghala Pulau Pinang itu hilang kawalan semasa ia cuba memotong sebuah kenderaan.

Katanya MPV itu kemudiannya terbabas ke pembahagi jalan sebelum dilanggar pula oleh sebuah lori membawa sayur, mengakibatkan ia merempuh besi selusur jambatan.

Abdul Rahim berkata rempuhan itu mengakibatkan remaja berkenaan tercampak keluar dari kereta, dan terjatuh ke dalam laut.

Katanya ketiga-tiga penumpang MPV yang terselamat dalam kejadian itu kini menerima rawatan itu Hospital Pulau Pinang, dan salah seorang daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaan mereka baik, namun ketiga-tiganya masih dalam keadaan trauma akibat kejadian itu," katanya.

Adul Rahim berkata polis sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain