Salam Lebaran Dari Australia... - Semasa | mStar

Salam Lebaran Dari Australia...

BERAYA di rantau bukanlah sesuatu yang baru dalam hidup ini kerana hampir suku dari umur yang dikurniakan Tuhan ini telah dihabiskan di luar negara.

Akan tetapi beraya di Australia amat meninggalkan kesan yang mendalam pada diri saya. Umat Islam di sini terdiri daripada pelbagai latar belakang keturunan. Ada yang berasal dari Timur Tengah, Eropah, Asia Tenggara dan tidak kurang juga dari Afrika.

Kepelbagai ini jugalah yang mencorak pelbagai amalan keagamaan yang unik. Namum dalam kepelbagaian ini jugalah yang telah menimbulkan bermacam kekeliruan di kalangan umat Islam di sini.

Sebagai contoh, hari bermulanya puasa serta hari raya disambut berbeza hari bergantung kepada dari mana anda berasal. Kadang-kadang terfikir, bilakah umat Islam di sini boleh bersatu. Malah nama sahaja Islam tapi kepuakan berteraskan bangsa cukup menebal dan masih kuat diamalkan di Australia.

Bayangkanlah boleh dikatakan kebanyakan masjid di sini meletakan nama bangsa di papan-papan tanda mereka. Seolah-olah masjid itu hanya dibina untuk meraikan keturunan tersebut, jauh terpesong dari ajaran Islam yang tidak pernah membezakan taraf apatah lagi warna kulit serta keturunan.

Walaupun di sini wujudnya badan penyelarasan berkaitan Islam yang dikenali sebagai Victoria Islamic Council (ICV) namun kewujudannya seolah-olah dipandang sepi oleh pertubuhan-pertubuhan agama yang lain.

Perkara ini mungkin juga disebabkan tiadanya sebarang penguatkuasaan yang boleh dikenakan terhadap pertubuhan yang memperjuangkan agama bersendikan keturunan ini.

Mungkinkah satu hari kelak, umat Islam diserata dunia boleh bersatu dalam perbezaan? Berbalik kepada cerita hari raya di sini, walaupun beribu batu jauhnya namun kemeriahan cukup terasa. Perkampungan Melayu di setiap pelusuk Australia tidak kurang hebat sambutannya dengan pelbagai aturcara menandakan kedatangan syawal.

Baju Melayu serta kurung pelbagai warna digayakan dengan penuh bangga. Pada masa yang sama, ingin saya ucapkan tahniah buat Persatuan Melayu Victoria (PMV) yang menganjurkan majlis sambutan hari raya yang berlainan sedikit. Mereka menganjurkan sambutan Hari Raya di Dewan Bandaraya Melbourne bersama-sama dengan mereka yang tidak berumah (homeless).

Usaha ini patut dipuji memandangkan inilah yang dikatakan semangat hari raya yang sebenarnya. Hari Raya patut dikongsi kegembiraannya, Hari Raya juga hari untuk mengembirakan mereka yang kekurangan.

Semoga usaha ini akan berterusan pada tahun- tahun mendatang. Begitu juga dengan kediaman rasmi saya, tidak putus-putus pengunjung datang menziarahi, bermula dari malam bertakbir sehingglah lewat malam keesokan harinya. Cuma bezanya kali ini ramai kawan tempatan yang datang mengunjungi saya. Terasa seperti rumah wakil rakyat pula.

Namun semeriah mana sekalipun raya tahun ini, ia tidak akan sempurna tanpa bersalam dengan kedua-dua ibu-bapa. Restu mereka begitu saya tagihkan,namun demi tugas dan martabat negara di mata dunia, saya pendam jua perasaan ini.

Pun begitu, setabah mana sekalipun saya, bila sahaja terdengar suara Alahyarham Sudirman, menyanyikan lagu "Dari Jauh Ku Pohon Maaf", air mata akan bergenang jua.

Maka dikesempatan ini buat ayahanda dan bonda nun jauh di Malaysia, anakanda memohon restu dan kemaafan dari jauh, semoga hidup ini diberkati Ilahi.

SELAMAT HARI RAYA MINAL AIDIN WA FAIZIN.

PENULIS merupakan Honorary Visiting Scholar di University Of Melbourne.Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan