suria

Kajian Terperinci Mengenai Umur Persaraan - KSN Sarawak

KUCHING: Kajian terperinci perlu dilakukan berhubung saranan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya umur persaraan penjawat awam dinaikkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata kajian perlu dijalankan memandangkan terdapat kebaikan dan keburukan sekiranya umur bersara dinaikkan dua tahun lagi.

"Antara faktor yang perlu diambil kira dalam kajian tersebut adalah seperti jumlah penduduk, kelanjutan usia sesuatu bangsa, tenaga kerja dalam sektor awam dan swasta, semua ini perlu diambil kira secara terperinci sebelum membuat keputusan akhir," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar mengenai majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di sini pada Isnin.

Rabu lepas, Cuepacs meminta kerajaan menaikkan umur persaraan bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Presiden Cuepacs Omar Osman berkata Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Umur persaraan bagi penjawat awam di Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Sabtu lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata cadangan Cuepacs telah dibincangkan di peringkat tertinggi kementerian, namun belum ada sebarang keputusan dibuat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain