suria

Jabatan Kimia Perlu Masa Kenalpasti Profil DNA Kes Bunuh Sosilawati

KUALA LUMPUR: Pengunaan analisis DNA dalam mengenalpasti mangsa dalam sesuatu kes jenayah kadangkala menghadapi kesukaran dari segi pengesahan identiti mangsa, menurut Ketua Pengarah Jabatan Kimia, N. Hithaya Jeevan.

Beliau berkata ini termasuk pengesahan menggunakan DNA dalam kes pembunuhan kejam jutawan komestik Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga rakannya, baru-baru ini.

Antara kesukaran yang dihadapi adalah tempoh masa yang diperlukan untuk menjalankan profiling DNA ke atas bukti-bukti yang ditemui, termasuk cebisan tulang dan sampel rambut yang ditemui di lokasi kejadian, katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

"Kita menjangkakan profil DNA (kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya) itu akan disiapkan dalam masa terdekat ini.

"Bagaimanapun kita tidak boleh meletakkan tempoh tertentu untuk menyerahkan profil DNA terbabit kepada polis.

"Jangka masa profil (DNA) untuk disiapkan bergantung kepada berapa banyak bahan bukti serta penemuan yang ditemui dilokasi kejadian," katanya.

Sosilawati 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis kemudian mengesahkan keempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting dekat sini.

Ekoran itu, Unit Forensik Polis menemui beberapa objek termasuk serpihan tulang dan sampel rambut yang dipercayai bahan bukti dalam kes pembunuhan itu, dan polis telah menghantar sampel tersebut ke Jabatan Kimia untuk analisis pada minggu lepas.

Hithaya Jeevan berkata jabatan itu sebelum ini, pernah mengendalikan kes yang rumit dan mengambil masa yang agak lama untuk memperoleh keputusan profil DNA bagi kes berkenaan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu serta kes pembunuhan penganalisis teknologi maklumat Canny Ong.

"Kes Altantuya dan Canny Ong juga mempunyai kerumitan untuk mendapatkan keputusan DNA yang tepat (bagi setiap kes). Kami perlu mengikut protokol antarabangsa yang telah digariskan," katanya.

Hithaya Jeevan berkata dengan kekuatan enam tenaga pakar forensik yang terlatih di jabatan itu, beliau berharap ia dapat mempercepatkan perolehan keputusan profil DNA kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, dan sekaligus dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu.

"Jika keputusan ini sudah diperoleh kita akan rujuk kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain