suria

Hukuman Lebih Berat Pada Premis Jadi Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes

PUTRAJAYA: Hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap mereka yang didapati membiarkan premis masing-masing menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dalam usaha memerangi denggi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kompaun minimum RM500 akan dikenakan walaupun ia merupakan kesalahan pertama dan maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun bagi mereka yang mengulangi kesalahan yang sama.

Katanya hukuman itu terkandung dalam Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.

"Ada peruntukan di bawah undang-undang sedia ada sehingga ke peringkat penjara tetapi sudah tentu ia tidak pernah dikenakan.

"Kompaun biasa adalah satu-satunya yang biasa dikenakan RM100 sehingga RM300. Ini mungkin dianggap kerana kes tidak serius.

"Kita punya pandangan agar hukuman yang lebih berat dikenakan terutama kepada mereka yang melakukan kesalahan yang sama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Muhyiddin berkata tindakan itu sebagai menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada berikutan terdapat kes di beberapa buah negeri yang mengulangi kesalahan yang sama.

Katanya bilangan kes denggi pada tahun ini juga dilaporkan meningkat apabila sehingga 18 September lalu, sebanyak 35,533 kes telah dilaporkan berbanding 31,085 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu meningkat sebanyak 14 peratus atau 4,448 kes.

"Kematian akibat demam denggi juga meningkat sehingga 53 peratus tahun ini, iaitu 107 kematian dicatatkan berbanding 70 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Malah, jumlah kematian sehingga September tahun ini telahpun melebihi jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 88 kematian," katanya.

Muhyiddin berkata sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes pada tahun ini berbanding tahun lalu iaitu Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan Terengganu.

Katanya kaji selidik mengenai nyamuk yang diubahsuai genetiknya sebagai antara usaha untuk memerangi denggi masih dalam peringkat kajian.

Sebagai strategi untuk menangani denggi, Muhyiddin berkata kerjasama dengan kerajaan negeri perlu dipertingkatkan dan Kementerian Kesihatan meletakkan sasaran kes ini dapat dikurangkan 10 peratus setiap tahun.

"Ini bermakna pada penghujung tahun ini, kadar kes ini dapat dikurangkan 10 peratus daripada apa yangg berlaku, dalam tempoh lima tahun 50 peratus," katanya.

Katanya program melibatkan pemimpin masyarakat perlu digerakkan seperti Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di bawah Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.

"Sudah ada lebih 600 kumpulan ditubuhkan untuk membantu menangani wabak denggi dan dicadangkan agar lebih 1,000 kumpulan lagi ditubuhkan di seluruh negara. Ini akan dibantu dengan pemberian imbuhan RM500 bagi satu kumpulan dalam menjalankan aktiviti mereka," katanya.

Muhyiddin juga berkata jawatankuasa untuk menangani wabak penyakit yang telah ditubuhkan di peringkat daerah perlu diaktifkan semula dan kempen dalam bentuk lebih jelas akan dilancarkan semula, di peringkat kebangsaan dan di setiap negeri.

Katanya hampir 1,000 kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga akan dikekalkan di pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggerakkan kempen menangani denggi di setiap PBT dan 16 kawasan tompok panas yang telah dikenal pasti perlu diberi tumpuan berikutan ia merupakan kawasan yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi. -BERNAMA.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain