suria

Syarikat Penerbangan MAS Ke Tujuh Terbaik Dunia

KUALA LUMPUR: Kedudukan Penerbangan Malaysia (MAS) naik satu tangga untuk bertapak di tempat ketujuh dalam senarai tinjauan pendapat umum mengenai Pelancongan 2010 bagi kategori 10 syarikat penerbangan terbaik di seluruh dunia yang dijalankan oleh majalah pelancongan bagi Asia, Smart Travel Asia.

Tinjauan pendapat itu direkodkan daripada kalangan pengguna perkhidmatan udara pada purata 13.56 kali sejak 12 bulan lepas, dengan 60 peratus daripadanya berpengkalan di Asia, 20 peratus di Eropah manakala 20 peratus lagi di Amerika.

MAS menduduki tempat ke-lima dalam kategori 10 Perkhidmatan Kabin Terbaik dan tempat ke-enam dalam kategori 10 Kelas Bisnes Terbaik.

Pengurus Besar Kanan, Pejabat Pengarah Urusan MAS, Muzzaffar Othman dalam satu kenyataan Ahad berkata, pasaran Asia merupakan sasaran utama syarikat penerbangan itu, dan pihaknya amat gembira kerana menerima pengiktirafan tersebut.

Beliau berkata ini kerana 60 peratus daripada mereka yang dirujuk pendapat itu adalah daripada kalangan pengguna di Asia, dan ia pasti akan membakar semangat syarikat itu bagi mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan bertaraf lima bintang kepada pelanggan.

"Kami berada di landasan yang betul dalam usaha mengukuhkan pertumbuhan dan sedang menantikan penghantaran pesawat baru kami mulai tahun ini sehingga 2014.Pesawat B737-800s akan tiba mulai Oktober ini.

"Dengan ini kami akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia dan kedua di dunia menerima pesaawt yang mendapat dirujuk sebagai 'Boeing Sky Interior. Ini bermakna pelanggan kami akan dapat menikmati produk dan perkhidmatan lebih baik oleh syarikat kami," katanya.

Muzzaffar berkata MAS sentiasa mencari jalan untuk menambah baik pengalaman penerbangan yang boleh ditawarkan bagi pelanggannya dan salah daripadanya ialah menerusi pengenalan aplikasi MHmobile.

Menurutnya menerusi aplikasi ini para pelanggan bukan sahaja boleh membeli tiket dan check-in penerbagan mereka menerusi telefon bimbit, malah ia turut membenarkan mereka memeriksa mata yang terkumpul dalam ganjaran Enrich mereka. Sementara itu Editor Smart Travel Asia, Vijay Verghese berkata keputusan pendapat ramai itu merupakan pencapaian yang amat cemerlang buat MAS kerana ia terpilih daripada lebih 100 syarikat pengangkutan yang beroperasi.

"Semua keputusan pendapat umum itu jelas menggambarkan syarikat penerbangan ini memiliki profil jenama yang positif secara global dan bukan hanya bertumpu di peringkat serantau," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain