suria

Sokongan Rakyat Terhadap BN Semakin Meningkat - Dr Zambry

PARIT: Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kini semakin meningkat kerana ramai yang menerima baik pendekatan gagasan 1Malaysia, kata pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata perubahan itu jelas dirasai kerana sebelum ini, ramai terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang yang menimbulkan pelbagai isu sehingga menimbulkan kebencian terhadap kerajaan BN.

"Bagaimanapun, hari demi hari, penipuan serta fitnah yang mereka (pembangkang) jaja di seluruh negara, semakin terbongkar dan membuatkan rakyat jelik terhadap perbuatan mereka itu.

"Ini boleh dilihat dengan perkembangan terkini yang berlaku, iaitu tindakan pemimpin dan anggota parti pembangkang meninggalkan parti masing-masing dan menyokong BN," katanya kepada pemberita selepas majlis Jamuan Hari Raya anjuran Umno Bahagian Parit, Ahad.

Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak berkata, jumlah kehadiran orang ramai pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran komponen BN tahun ini juga meningkat berkali ganda berbanding pada tahun lepas.

"Ini semua hasil kerja keras semua komponen parti BN, khasnya Umno yang semakin agresif menarik semula sokongan pengundi.

"Lebih memberangsangkan lagi, kelmarin empat pemimpin Angkatan Muda Keadilan Perak dan 72 anggota Wanita cabang Ipoh Barat parti itu, turut bertindak keluar parti," katanya.

Dr Zambry berkata peristiwa itu boleh dianggap satu kemenangan besar kepada BN dan dijangka lebih ramai pemimpin dan anggota parti pembangkang melakukan tindakan sama tidak lama lagi.

Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri program tahunan yang diadakan di Dataran Parit berkenaan, yang turut dihadiri isteri Menteri Besar Datin Seri Saripah Zulkifli, anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria dan Ketua Umno Bahagian Parit Datuk Zaim Abu Hassan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain