suria

Pertandingan Fotografi Karnival Tanglung Kampung Cina 2010

KUALA TERENGGANU: Sempena Karnival Tanglung 2010, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu menganjurkan pertandingan fotografi bermula 18 hingga 22 September ini.

Pengarahnya Ahmad Fathil Abd Ghani berkata pertandingan itu bertujuan mempromosi Pesta Tanglung dan ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia. "Lokasi fotografi ialah persekitaran Kampung Cina di sini sahaja," katanya kepada pemberita, Ahad.

Ahmad Fathil berkata pertandingan itu bukan sahaja dihadkan kepada tema Karnival Tanglung, tetapi juga keindahan alam semula jadi, keindahan seni bina dan keindahan warisan di Kampung Cina itu sendiri.

Beliau berharap dengan adanya fotografi ini, gambar-gambar ini akan menjadi medium terbaik untuk mempromosi Kampung Cina kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Kita dapati gambar-gambar ini mampu memberikan satu inspirasi atau kekuatan kepada pelancong-pelancong untuk datang sendiri untuk melihat keindahan pelancongan yang terdapat di Terengganu," katanya.

Beliau berkata Kampung Cina kaya dengan cara hidup dan adat resam pelbagai kaum di negara ini sehingga pelancong daripada luar negara tidak ketinggalan untuk melawat kampung itu setiap kali datang ke Terengganu.

Ahmad Fathil berkata pertandingan itu juga kesinambungan pertandingan fotografi dasar laut di Pulau Redang yang telah dibukukan untuk diedarkan kepada orang ramai.

Katanya, setiap peserta dikehendaki mengemukakan foto bersaiz 8R (8"x10") lengkap dengan kadbod berukuran 10"x12" dan setiap penyertaan hendaklah dihantar kepada Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu sebelum tarikh tutup 28 September ini.

Beliau berkata pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, tempat kedua RM750 dan ketiga RM500, serta tiga hadiah cemerlang yang setiap satu bernilai RM300 dan empat hadiah sagu hati bernilai RM200 setiap satu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain