suria

Pelajar Lelaki Mati Lemas Di Sungai Kelantan

KOTA BAHARU: Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kota Baharu mati lemas ketika mandi bersama lima rakannya, di Kampung Atas Kubur, Jalan Gajah Mati, di sini, petang Sabtu.

Mangsa, Mohd Nurjan Mohamad, 14, dijumpai tersangkut di celah-celah kayu di dasar sungai sedalam kira-kira 8 meter oleh unit skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan yang menjalankan gerakan menyelamatkannya.

Menurut adiknya, Mohd Norman, 11, abangnya sebelum ini tidak pernah mandi sungai kerana tidak tahu berenang walaupun rumahnya terletak berhampiran sungai itu.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika mangsa mandi bersama lima rakannya yang lain.

Menurut rakan mangsa, Mohd Khairul Fikri Derahim, 15, pada mulanya Mohd Nurjan tidak mahu mandi setelah diajak rakan-rakannya atas alasan tidak tahu berenang.

"Bagaimanapun, entah macam mana tiba-tiba dia membuka baju dan terjun ke sungai, dan tidak lama selepas itu dia kelihatan melambai-lambai tangan meminta tolong tetapi gagal diselamatkan sebelum ia hilang dibawa arus," katanya.

Anggota unit skuba menemui mangsa selepas kira-kira satu jam operasi mencari digerakkan dan dia diberi bantuan pernafasan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan susulan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII, Zaid Ahmad, ketika dihubungi memberitahu Bernama, mangsa disahkan mati sebelum tiba di bilik kecemasan hospital itu untuk mendapatkan rawatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain