suria

Majikan Diminta Sokong Dasar Gaji Minimum

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam hari ini meminta para majikan supaya menyokong dasar gaji minimum bagi memastikan pelaksanaannya, kemungkinan pada tahun depan, berjalan lancar.

Beliau berkata mereka tidak perlu bimbang atau menganggap dasar itu sebagai halangan kepada perniagaan mereka.

"Niat kita bukan untuk membebankan para majikan. Kita hanya akan menetapkan satu tahap minimum dalam soal gaji dan ia terpulang kepada para majikan untuk membayar sebarang jumlah melampaui tahap itu kepada para pekerja mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Pada Sabtu, Dr Subramaniam dipetik sebagai berkata bahawa model gaji minimum itu adalah menyeluruh bagi semua sektor tetapi ia berbeza mengikut wilayah.

Di sebalik jaminan kerajaan bahawa dasar gaji minimum tidak akan menjejaskan industri, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) masih tetap dengan pendiriannya bahawa dasar itu akan memberi kesan kepada perniagaan dan pekerja tempatan kerana ia cenderung untuk memberi manfaat kepada pekerja asing yang kurang mahir dan berpendapatan rendah.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan dipetik sebagai berkata usaha bagi menjadikan tahap berpendapatan tinggi bukan dengan cara mendasarkannya ke atas gaji minimum tetapi dengan meningkatkan produktiviti dan prestasi para pekerja.

Dr Subramaniam berkata kementeriannya masih mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan dasar mengenai gaji minimum digabungkan dengan baik.

Beliau dijangka membentangkan kertas kerja mengenai gaji minimum kepada Kabinet menjelang bulan depan.

Katanya gaji minimum adalah perlu kerana struktur gaji dalam banyak sektor tidak berubah secara drastik sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun dengan kenaikan harga barangan.

"Gaji mesti disepadankan dengan kenaikan dalam harga barangan dan taraf kehidupan yang semakin tinggi," katanya.

Katanya kos kehidupan telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan dalam produktiviti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain