suria

Keluarga Di Baling Rayu Bawa Pulang Anak Lelaki Dari Medan

BALING: Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Palong, Bongor di sini merayu kepada mana-mana pihak bagi membantu membawa pulang anak lelaki mereka yang 'terkandas' di Medan, Indonesia sejak mengikut isterinya, seorang warga Indonesia ke sana lebih enam tahun lepas.

Mohd Khalid Mat Amin dan isteri Genah Beram, kedua-duanya berusia 49 tahun, berkata anak lelaki mereka Mohamad Shahril, 30, kini berada di Kampung Durian, Kacamatan Sel Balai Kab, Asahan Kisaran, Medan.

Mohamad Shahril ke sana selepas mengikut isterinya Nur Diana Sibuea, 27 bersama dua anak mereka, dan mendakwa tidak dapat pulang ke Malaysia kerana kesukaran hidup, kata pasangan suami isteri itu kepada Bernama.

"Mohamad Shahril beberapa kali merayu supaya keluarga di sini mengirimkan wang kepadanya untuk tambang pulang kerana tidak mampu lagi meneruskan kehidupan di kampung halaman isterinya," kata Genah.

Dia turut merayu supaya Kelab Putera 1Malaysia yang dipengerusikan Datuk Abd Azeez Abd Rahim yang juga Ketua Umno Bahagian Baling membantu mereka untuk membawa pulang Mohamad Shahril, isteri dan tiga anaknya ke Malaysia.

Sementara itu, Mohd Khalid berkata anaknya sering meminta mereka mengirim wang kepadanya kerana kesempitan hidup.

"Saya amat sedih dengan apa yang diceritakan Mohamad Shahril yang memberitahu mareka amat menderita kerana tiada wang dan kerja yang dilakukan sekarang tidak cukup untuk menanggung keluarganya," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata Mohamad Shahril dan Nur Diana berkahwin sembilan tahun lepas di Pulau Pinang dan setelah mendapat dua orang anak, Muhammad Hishamuddin, 8, dan Mohamad Rezki Idawi, 7, Nur Diana mengajak Mohamad Shahril pulang ke kampung halamannya untuk berjumpa dengan keluarga.

Namun sehingga kini mereka tidak pulang, malah pernah terputus hubungan dengan keluarga di sini selama tiga tahun. Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin membantu keluarga tersebut membawa pulang anak mereka boleh hubungi Mohd Khalid di talian 019-5765 894.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain