suria

Kabinet Bincang Draf Pertama Bajet 2011 Selasa Ini

IPOH: Draf pertama Bajet 2011 yang antara lain mengandungi cadangan serta maklum balas pelbagai agensi kerajaan, kumpulan fokus dan sektor perindustrian akan dibentangkan pada mesyuarat khas kabinet Selasa ini, kata Menteri kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata penilaian oleh semua kementerian turut terkandung dalam draf pertama itu yang akan dikemukakan kepada jemaah menteri pada mesyuarat khas tersebut. Bagaimanapun menurutnya input atau cadangan dari semua pihak masih tetap diterima, dan jika didapati sesuai, ia akan dimasukkan ke dalam draf penyediaan bajet yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober nanti.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidifitri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tambun di sini, Ahmad Husni berkata mesyuarat itu juga bertujuan memberi penjelasan mengenai hala tuju bajet tahun depan yang disediakan buat kali pertama berteraskan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA).

Katanya ia termasuk menggariskan 160 sub-sektor NKEA di bidang tertentu seperti minyak dan gas, telekomunikasi dan teknologi maklumat, pendidikan dan industri pembuatan.

Beliau turut menyifatkan Bajet 2011 sebagai signifikan kerana penggubalan dan pelaksanaannya berpaksikan usaha kerajaan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain