suria

Semua Pihak Perlu Bekerjasama Jayakan Program Transformasi Kerajaan

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu bekerjasama menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta gagasan 1Malaysia dan bukannya menimbulkan isu-isu kontroversi yang tidak memberi sebarang manfaat kepada pembangunan negara.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata apa yang lebih utama sekarang adalah untuk memberi tumpuan kepada penambahbaikan ekonomi negara dan memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di bandar dan luar bandar.

"Sekiranya wujud pandangan, pendapat atau kritikan di kalangan anggota komponen Barisan Nasional (BN), ia seharusnya sesuatu yang membina dan positif dan bukannya merenggangkan hubungan antara komponen parti BN.

"Sebagai contoh, kejadian jenayah yang berlaku tidak seharusnya dikaitkan dengan isu perkauman kerana ia tidak mendatangkan keuntungan kepada semua pihak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat parti Gerakan di Menara PGRM, Sabtu.

Apabila diminta mengulas kenapa anggota parti komponen BN selalu membangkitkan isu kontroversi membabitkan BN dan bukannya parti pembangkang beliau berkata perbezaan pendapat adalah satu perkara biasa.

"Sejak dahulu, perbezaan pendapat telah wujud dalam BN tetapi rekod lampau telah menunjukkan bahawa akhirnya BN mencapai kata sepakat sekaligus menyelesaikan sesuatu masalah atau isu bagaimanapun kritikan atau pandangan perlu positif dan membina," katanya.

Selain itu, Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata hubungan antara kaum di Malaysia adalah baik berdasarkan kepada jumlah komposisi kaum dalam sebuah pejabat dan kawasan perumahan kerana ia tidak membabitkan sesuatu kaum sahaja jika dibandingkan pada waktu sebelum ini.

Sementara itu, mengenai langkah anggota Gerakan Pulau Pinang mengumpul tandatangan anggota parti bagi membolehkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan untuk mendesak pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan berundur, Koh berkata buat masa ini anggota jawatankuasa pusat sedang mengadakan perbincangan dengan Gerakan Pulau Pinang.

"Saya yakin mereka (anggota Gerakan Pulau Pinang) boleh menguruskan perkara itu (EGM) berdasarkan kepada pengalaman luas mereka dalam politik dan apa yang lebih utama sekarang ialah peranan Gerakan Pulau Pinang adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Ditanya adakah EGM ini merupakan tanda protes terhadap kepimpinan beliau, Koh berkata: "Saya tidak mahu menafsirkannya". BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain