suria

Perubahan Sikap Pengguna Turunkan Statistik Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Perubahan sikap pengguna jalan raya ke arah pemanduan yang lebih berhemah telah dapat mengurangkan kadar kemalangan, kemalangan maut dan kematian sepanjang Ops Sikap ke-22 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berakhir Jumaat.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Abdul Aziz Yusof berkata walaupun kadar penurunan kemalangan, kemalangan maut dan kematian adalah sedikit, namun ia boleh diperbaiki jika pengguna mengubah sikap mereka ketika berada di jalan raya.

"Penurunan yang lebih tinggi boleh dicapai sekiranya pengguna jalan raya mematuhi had laju yang ditetapkan dan menjadi pengguna yang bijak dengan mengelak kemalangan," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Beliau berkata penurunan sebanyak tiga peratus dicatatkan bagi kes kemalangan, penurunan sembilan peratus bagi kemalangan maut dan penurunan enam peratus bagi kematian.

Menurutnya sebanyak 248 kematian dicatatkan dalam Ops Sikap itu pada tahun ini berbanding 265 kematian tahun lepas manakala jumlah kemalangan maut turut menurun daripada 241 tahun lepas kepada 218 tahun ini.

Katanya jumlah kemalangan juga menurun kepada 16,817 pada tahun ini berbanding 17,332 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Pengguna motosikal masih merupakan penyumbang kemalangan maut tertinggi iaitu sebanyak 65 peratus dan sebanyak 144,576 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya," katanya.

Abdul Aziz berkata kira-kira sembilan juta kenderaan berada di jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan ini berbanding tiga juta pada hari biasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain