suria

Model Gaji Minimum Menyeluruh Bagi Semua Sektor

BEIJING: Model gaji minimum Malaysia akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi semua sektor tetapi ia mungkin berbeza mengikut wilayah, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

"Kami pasti akan melaksanakan model gaji minimum, kami akan menyemak semula upah minimum yang tidak berubah sejak bertahun-tahun, tetapi pada masa sama memastikan pelaksanaan (gaji minimum) tidak menjejaskan industri dan memberi kesan negatif," katanya kepada Bernama di sini.

Subramaniam ditemui di luar persidangan Menteri-menteri Pembangunan Sumber Manusia Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kelima di sini.

Persidangan dua hari itu bermula pada 16 Sept dan berakhir Jumaat.

Beliau berkata model gaji minimum, yang akan dibentangkan di Kabinet pada Oktober ini, akan mengambil kira faktor-faktor sektor pekerjaan dalam negara dan wilayah.

"Tidak ada faedah menaikkan gaji dan menyebabkan pengurangan pekerjaan."

Beliau berkata walaupun terdapat cadangan bagi mengadakan gaji minimum untuk sektor berbeza tetapi ia sukar untuk dilaksanakan.

"Namun, kami mengambil kira untuk mewujudkan model gaji miniumum mengikut wilayah berasaskan kos sara hidup berbeza di wilayah berasingan... gaji minimum bagi Shah Alam mungkin berbeza dengan gaji di Kedah atau Perlis."

Beliau berkata Malaysia akan menggubal model gaji minimum berasaskan kepada situasi ekonmi dan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja.

Pengumpulan data bagi model gaji minimum telah dilakukan dan akan dibentangkan kepada wakil-wakil sektor dalam masa terdekat untuk dibincangkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet, kata Subramaniam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain