suria

Malaysia Tidak Perlu Nasihat Lee Kuan Yew - Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Malaysia tidak perlukan nasihat Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew kerana mempunyai cara tersendiri dalam mentadbir negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kepelbagaian dan komposisi kaum serta adat resam masyarakat di Malaysia jauh berbeza dengan Singapura.

"Kita jauh berbeza dengan Singapura dan kenyataan Lee yang mengkritik sistem diamalkan di negara ini tidak boleh diterima kerana Malaysia menggunakan langkah dan kaedah yang berlainan dalam menguruskan hal berkaitan budaya serta perbezaan agama pelbagai kaum," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini, Sabtu.

Lee dalam akhbar New York Times keluaran 1 Sept lepas mengkritik sistem diamalkan di negara ini dan menuduh Malaysia tidak berlaku adil serta menyisihkan kaum lain.

Dalam temu bual itu juga, Lee turut membayangkan Malaysia mungkin lebih baik jika tidak terpisah dengan Singapura kerana republik itu kini telah mencapai tahap yang membanggakan dalam hubungan kaum.

Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas turut menafikan Malaysia menyisih dan mengetepikan kaum minoriti di negara ini.

"Kalau kita buat begitu (menyisihkan kaum) sudah tentu Malaysia menghadapi masalah...negara tidak pernah menyisihkan mana-mana kaum dan sentiasa menganggap semua kaum sangat penting kepada negara.

"Pelbagai etnik dan kaum ada di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, Sehingga kini tidak pernah timbul mana-mana kaum disisihkan dan kerajaan juga sentiasa bersikap adil kepada semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain