suria

Dua Polis Cedera Ketika Tangkap Warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Pada 1 pagi Sabtu, seorang lelaki warga Indonesia berumur 38 tahun sedang asyik mengumpil dan memecahkan cermin sebuah kereta di Puchong dengan menggunakan pisau tanpa menyedari perbuatan jenayahnya itu sedang diperhatikan oleh dua anggota polis.

Sebelum sempat mengambil barangan daripada kereta jenis Honda City itu, lelaki tersebut terkejut apabila disergah oleh anggota polis yang telah lama memerhatikan kegiatannya.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata kedua-dua anggota polis itu kemudian cuba menahan suspek tetapi mereka telah diserang dengan pisau sebelum berlaku pergelutan.

"Dalam pergelutan selama 10 minit itu, seorang anggota polis cedera di tangan manakala seorang lagi cedera di kaki...namun mereka dapat menewaskan dan menahan lelaki itu yang turut cedera," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya kedua-dua anggota polis yang cedera dirawat di Hospital Putrajaya manakala suspek ditahan di Hospital Serdang untuk menerima rawatan sebelum disoal siasat.

Beliau berkata hasil siasatan awal, suspek mengaku terlibat dalam lima daripada 60 kes pecah kereta dan curi barang yang dilaporkan di Serdang.

Katanya suspek kemudian membawa polis ke rumah kongsinya yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan di situ polis menemui beberapa peralatan memecah rumah seperti pemutar skru dan barangan curi seperti telefon bimbit.

"Kami percaya suspek mempunyai rakan jenayah. Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri," katanya.

Sementara itu, Konstabel Ahmad Nil Mustakim Azman, 23 yang cedera ditangan kiri akibat pergelutan itu berkata beliau tidak menyangka suspek akan bertindak menyerangnya walaupun tiada jalan untuk melarikan diri.

"Agak terkejut namun saya dan rakan (Konstabel Mohd Fikri Abdul Ghani, 21) telah bersedia sepenuhnya untuk menangkap suspek walaupun tahu akan cedera," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain