suria

Pesakit Mental Dijumpai Mati Dalam Wad Dipercayai Dibunuh Rakan

KOTA BAHARU: Seorang lelaki yang menghidap penyakit mental ditemui mati di dalam wad psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini Jumaat, dipercayai akibat dipukul.

Mohamad Idris, 64, dari Kampung Jambu, Rambutan Rendang dekat sini dipercayai dibelasah oleh seorang lagi pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu ditemui oleh petugas di wad tersebut kira-kira pukul 5.10 pagi ini.

Jurucakap polis ketika dihubungi berkata Mohamad ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian kepala dan muka dipercayai akibat dipukul selain dihentak secara bertubi-tubi.

"Polis belum menangkap sesiapa berhubung kes ini, namun kami percaya telah dapat mengenal pasti suspek," katanya.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati.

Sementara itu anak Mohamad, Norzilawati, 28, ketika ditemui di hospital itu berkata ayahnya sudah lama menghidap sakit mental dan dihantar ke hospital itu semalam untuk mendapatkan rawatan.

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian pada pukul 8 pagi oleh pihak hospital dan saya redha dengan takdir. Biarlah pihak polis menyiasat dengan terperinci apa yang berlaku ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu namun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain