suria

Penuntut Tahun Akhir Rayu Tidak Dipenjarakan

KUALA LUMPUR: Dua penuntut tahun akhir sebuah universiti tempatan merayu di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, supaya mereka tidak dikenakan hukuman penjara bagi kesalahan mencuri untuk mengelakkan daripada dibuang universiti.

Ma Jiannan, 22, dan Yan BingQing, 21, yang berasal dari China dan penuntut Jurusan Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya mengemukakan rayuan itu dihadapan Majistret Siti Shakirah Mokhtarudin.

"Saya mohon dikenakan hukuman denda kerana jika dipenjarakan, saya tidak dapat meneruskan pengajian. Saya telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan lagi," kata Ma.

Yan yang mengenakan blaus putih paras paha juga merayu dikenakan hukuman sama kerana berhasrat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Mereka mengaku bersalah atas tuduhan mencuri 22 jenis barangan terdiri daripada minuman dan produk penjagaan diri serta kecantikan di sebuah pasaraya pada Selasa lalu.

Mereka mengaku mencuri barangan keseluruhannya berharga RM542.66 pada pukul 6 petang, 14 September lalu di Pasaraya Carrefour, Bangsar, di sini.

Antara barangan yang dicuri ialah Loreal Revitalift, Neat Feat Gel Meta dan juga barangan Kinohimitsu.

Mereka ditangkap selepas pengawal keselamatan pasaraya tersebut melihat mereka tidak membayar barangan yang dimasukkan ke dalam beg tangan Yan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohamad Hanifa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Meskipun mengakui kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, Shashitah memohon supaya mahkamah mempertimbangkan faktor tertuduh yang masih menuntut.

Siti Shakirah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,200 atau sebulan penjara, jika gagal membayar denda terhadap setiap tertuduh.

Artikel Lain