suria

Kes Sosilawati: Media Dibenar Dekati Ladang Gadong

KUALA LANGAT: Selepas seminggu dikawal ketat oleh polis, petugas media pada Jumaat, dibenar mendekati kawasan pintu hadapan Ladang Gadong, yang dipercayai menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Bagaimanapun, ketika menghampiri kawasan itu kira-kira pukul 3 petang tadi, terdapat dua anggota polis masih berkawal dan tidak membenarkan pihak media melepasi laluan serta kawasan dalam ladang berkenaan.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan ladang itu dipagari dengan tembok batu setinggi kira-kira dua meter dengan pintu masuk utama menggunakan pagar kawalan automatik serta terdapat satu lagi pagar 100 meter dari pintu utama ladang.

Pintu masuk utama ladang milik suspek utama kes itu turut tertera dua tanda amaran iaitu "Dilarang Masuk" dan "Awas Anjing Ganas".

Turut kelihatan di dalam kawasan ladang berkenaan ialah beberapa bangunan yang menyerupai chalet, rumah pondok serta gazebo selain beberapa tapak semaian ditutupi jaring berwarna hitam dipercayai untuk tanaman sireh di sepanjang laluan pintu masuk hadapan.

Turut kelihatan sebuah sangkar burung merak serta beberapa ekor lembu sedang berkeliran di kawasan berhampiran ladang terbabit.

Sementara itu, dua anggota forensik kelihatan memasuki kawasan ladang kira-kira pukul 5.20 petang. Sebuah kereta forensik memasuki kawasan berkenaan pada pukul 11.45 pagi sebelum keluar semula 35 minit kemudian.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini berkata polis menemui sebilah pisau yang dipercayai diguna sebagai senjata pembunuhan. Sebuah beg kriket turut ditemui di lokasi kejadian, katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa disahkan dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. -BERNAMA

Artikel Lain