suria

Sarawak, Sabah Selamat dan Aman Selepas Sertai Malaysia

SRI AMAN: Sarawak dan Sabah dalam membentuk Malaysia pada 1963 banyak memberi faedah kepada kedua-dua wilayah tersebut khasnya dari segi keselamatan dan nikmat keamanan.

Kanang anak Langkau, 65 bekas Sarjan Mejar Rejimen Renjer Diraja ke-8 berketurunan Dayak berkata, rakyat tidak lagi berasa takut dengan sebarang ancaman dari luar malah berasa lebih selamat sekaligus memudahkan perancangan untuk pembangunan dilakukan.

Sarawak sememangnya negeri bertuah kerana sejak bersama dalam Malaysia rakyatnya dapat hidup rukun ramai dan bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama, katanya kepada Bernama pada majlis sambutan Hari Malaysia peringkat Bahagian Seri Aman di sini, Khamis.

Menurutnya generasi baru hari ini perlu diberi kesedaran dan penjelasan yang secukupnya betapa penting perpaduan dalam semangat 1Malaysia yang merentasi setiap budaya dan agama rakyat berbilang kaum di Sarawak.

"Apa yang utama hari ini adalah mengekalkan semangat bersatu padu rakyat di Sarawak dan memastikan mereka tidak berasa terpinggir jika masih ada tempat di negeri ini yang belum menikmati kemajuan," katanya.

Beliau dianugerahkan dengan Pingat Panglima Gagah Berani pada 7 Jun 1987 dan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa pada 3 Jun 1981 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kanang juga adalah bekas Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962 sebelum diserapkan ke Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 Sept 1963 dan beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun berkhidmat.

Beliau turut berkata selepas terbentuknya Malaysia pada 16 Sept 1963, Sarawak menikmati pelbagai arus pembangunan dan kemajuan di seluruh negeri.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan di bawah konsep 1Malaysia untuk membangunkan kawasan luar bandar khasnya di Sarawak, kata Kanang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia itu berkata selepas 47 tahun bersama Malaysia, Sarawak banyak mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat nasional malah juga global.

Beliau berkata selain menikmati keamanan, Sarawak juga dilimpahi pembangunan yang pesat di segenap pelusuk negeri melalui pelbagai dasar pembangunan kerajaan.

"Hargailah nikmat keamanan dan kemajuan ini bersama dan ia tidak datang serta hadir dengan begitu mudah kerana inilah hasil perjuangan pemimpin dan pejuang negara yang terdahulu yang perlu kita ingati hari ini iaitu 16 Spet," kata Rohani.

Sebanyak 55 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri serta badan bukan kerajaan turut serta dalam perbarisan yang berlangsung di padang sukan Sri Aman di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain