suria

Polis Anggap Kes Sosilawati, 3 Lelaki Lain Jenayah Bunuh Biasa

KUALA LANGAT: Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain sama seperti kes jenayah bunuh lain yang perlu diselesaikan segera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes berkenaan adalah biasa yang tiada beza dengan jenayah bunuh lain.

"Kes Sosilawati adalah jenayah biasa dan akan diselesaikan dengan segera," katanya pada majlis bersama pemimpin masyarakat Kuala Langat di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes pembunuhan jutawan wanita bersama tiga lelaki lain yang menggemparkan negara baru-baru ini.

Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.

Abu mereka kemudian dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, kadar jenayah di daerah ini turun kepada 14 peratus bagi tempoh antara Januari dan Ogos tahun berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Isu jenayah merupakan keutamaan kami dan akan bertindak pantai mengatasinya," katanya.

Beliau berkata, polis memerlukan masyarakat untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah demi keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara.

Kuala Langat merupakan destinasi lawatan pertama Ismail bersama masyarakat selepas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain