suria

Pembaharuan Transformasi Bukan Angan-Angan Mat Jenin - PM

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembaharuan transformasi yang kerajaan sedang dilaksanakan bukannya angan-angan mat jenin tetapi ia dirancang dengan begitu teliti.

Katanya pembaharuan itu yang dilakukan melalui Pelan Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dilaksanakan dalam semangat 1Malaysia dengan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Ini bukan impian kosong, ini bukan angan-angan mat jenin tetapi ia sesuatu yang sudah kita rancang dengan begitu teliti.

"Kita buat kajian begitu mendalam, kita buat berbagai-bagai makmal untuk membincang apa yang patut kita lakukan supaya 10 tahun akan datang impian kita...InsyaAllah akan kesampaian dan perubahan besar akan berlaku kepada negara Malaysia tercinta ini," katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 30,000 orang semasa merasmikan program juara rakyat peringkat negeri dan majlis Hari Raya Aidilfitri di Padang Bandaran di sini, Khamis.

Perdana Menteri menegaskan pentadbiran negara berada atas landasan yang kukuh dengan mempunyai hala tuju yang jelas, ikatan yang padu dan mempunyai rekod yang sukar dibandingkan dalam berjasa kepada rakyat.

Katanya kerajaan berada dalam landasan ke arah perubahan transformasi yang besar dengan berani membuktikan sesuatu yang lebih baik dan memberi pengharapan baru kepada rakyat Malaysia.

Untuk mencapai impian itu, beliau berkata kerajaan memerlukan sokongan padu daripada rakyat dalam membawa rakyat ke arah satu hala tuju yang boleh menjanjikan sesuatu pengharapan dan impian yang mulia serta indah untuk negara Malaysia. Najib berkata dalam membangunkan negara, kerajaan mementingkan rakyat dan rakyat mesti merasakan bahawa impian mereka itu akan kesampaian.

"Impian rakyat adalah tinggal di sebuah negara yang semakin makmur dan mereka mempunyai pengharapan.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita memberi rakyat secukup harapan bukannya kekecewaan, perasaan kemarahan tetapi rasa pengharapan yang baik dan harapan baru untuk masa depan," katanya.

Mengenai program juara rakyat itu, Najib mahu semua pemimpin Umno tidak hanya menggunakan istilah turun padang melalui program itu tetapi mereka mesti berada di padang sepanjang masa mendampingi rakyat.

Katanya dalam sistem demokrasi berparlimen, kuasa mutlak bukan di hujung senapang tetapi kuasa mutlak berada di tangan rakyat. "Maka kalau kita mahu menentukan kelangsungan kuasa kita, maka Umno dan rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) mesti merupakan sebuah parti juara rakyat.

"Bila kita kata parti juara rakyat, bererti bahawa kita ialah sebuah parti yang boleh digantung harap oleh rakyat, rakyat boleh menyandar harapan kepada kita untuk terus membela mereka dan menentukan kemakmuran bumi Malaysia ini akan terus terjamin," katanya.

Perdana Menteri berkata masalah rakyat mesti diselesaikan kerana kerajaan tidak akan membuat janji yang tidak mungkin ditunaikan tetapi realitinya kerajaan mampu menyelesaikan masalah rakyat, berkhidmat untuk rakyat dan mampu membuat pembaharuan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain