suria

Najib Minta LDP Amal Prinsip BN Tangani Masalah Dalaman Parti

SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Parti Liberal Demokratik (LDP) menggunakan prinsip setiakawan dan semangat Barisan Nasional (BN) ketika menangani sebarang masalah yang melibatkan parti komponen BN lain. Najib yang juga pengerusi BN berkata pendekatan yang selama ini diamalkan BN perlu dihormati bagi memastikan keharmonian dalam parti berkenaan terus terpelihara. "Kita punya perinsip dalam BN ialah semua permasalahan kita rundingkan secara keluarga dalam BN. Kita tidak menzahirkan secara terbuka kerana ini boleh menimbulkan kesan yang tidak sihat dan tidak baik kepada imej BN.

"Jadi saya berharap parti LDP akan mengamalkan prinsip BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri di sini Khamis.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin mengatakan beliau tidak dapat bekerjasama dengan Katua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman namun akan terus bekerjasama dengan Umno dan setia dengan BN.

Berikutan kenyataan itu, naib presiden LDP yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin serta Menteri Belia dan Sukan Sabah mengumumkan keluar daripada LDP.

Menurut Najib pihak berkaitan isu berkenaan sudah menemuinya dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penyelesaiannya sedang diusahakan.

Mengenai kedudukan Pang yang belum menyertai mana-mana parti politik dalam kerajaan negeri Sabah, beliau berkata setakat ini statusnya masih kekal sehingga keputusan muktamad diambil.

Menurutnya pihaknya sedar mengenai prinsip BN berkaitan dengan kedudukan Pang dan perkara berkenaan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Mengenai kedududukan BN Sabah pada keseluruhannya, Najib berkata BN Sabah kukuh dan berakar umbi di hati rakyat serta terbukti dengan sambutan mereka terhadap program parti khususnya Program Juara Rakyat.

"Saya berharap jika semua bahagian Umno dan parti-parti komponen BN mengamalkan kaedah yang sama dan semangat yang sama, tidak ada sebab mengapa sokongan rakyat terhadap kita tidak dapat diperkuatkan lagi," katanya. Terdahulu dalam ucapan, Najib mengulangi keyakinannya bahawa Sabah masih berupakan simpanan tetap kerajaan BN kerana sokongan rakyat tetap kuat terhadap kerajaan BN. Najib berkata berdasarkan kepada kehadiran antara 40 ribu hingga 50 ribu rakyat pada Program Juara Rakyat di Sandakan yang dianggapnya sebagai satu rekod yang dicipta Sabah kerana lebih besar berbanding di Hulu Selangor dan ia bukti sokongan akar umbi kepada kerajaan.

Mengenai signifikan sambutan Hari Malaysia, Najib berkata: "Hari Kemerdekaan telah tetapkan pada 31 Ogos tetapi hari ini ialah hari istimewa untuk rakyat Sabah dan Sarawak sebab mereka rasa bahawa inilah tarikh keramatnya kerana menyertai Malaysia." "Tidak menjadi sesuatu percanggahan sama sekali. Kita boleh sambut kedua-dua hari. Hari Malaysia pun kita boleh sambut. Jadi saya tidak anggap ini sebagai satu percanggahan tetapi ini merupakan legasi pembentukan negara Malaysia."

Mengenai kefahaman generasi muda berkaitan Hari Malaysia, Najib berkata mereka perlu diberi pendidikan formal dan tidak formal agar mereka dapat menghayati signifikan Hari Malaysia dan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya peranan berkenaan bukan sahaja boleh dimainkan pihak sekolah melalui pengajaran subjek sejarah tetapi boleh diwar-warkan oleh media massa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain