suria

Lelaki Hilang Sejak Seminggu Lalu Di Baling

BALING: Seorang lelaki berusia 59 tahun di Kampung Becah Sawa, Siong di sini dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dan usaha mencarinya sehingga Rabu masih gagal menemuinya.

Lelaki itu Wateh Abdullah disedari hilang dari rumahnya pada petang Khamis lalu, sehari sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri.

Kehilangan Wateh disedari salah seorang anaknya yang datang untuk menghantar makanan kepadanya pada hari berkenaan.

Dia yang tinggal seorang diri di sebuah rumah berdekatan dengan Masjid Kampung Becah Sawa dikatakan tidak begitu gemar menemui orang ramai dan sering bersikap mengasingkan diri sejak beberapa tahun ini.

Abang mangsa, Mat Piah Abdullah, 62, berkata pada hari kehilangan adiknya itu, dia sempat berbual dengan adiknya kira-kira pukul 11.30 pagi ketika menziarahi Wateh di rumahnya.

Mat Piah berkata, pada petang berkenaan, salah seorang anak saudaranya datang memberitahu bahawa bapanya tidak ada di rumah dan makanan yang ditinggalkan dalam bekas makanan di rumahnya tidak disentuh.

Katanya setelah semua anak-anak Wateh dan keluarganya dihubungi bagi memastikan sama ada Wateh ada bersama mereka, usaha mencarinya dilakukan dan mereka kemudian membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Mat Piah berkata, adiknya setiap hari akan menghalau enam ekor kerbaunya ke kawasan belukar tidak jauh dari rumahnya untuk makan rumput.

"Usaha mencari berpandukan denai kerbau di sekitar hutan dan belukar di kampung itu sudah dilakukan tetapi gagal," katanya.

Berikutan itu, hari ini (Rabu) usaha mencari secara besar-besaran dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang turut melibatkan unit anjing pengesan serta 18 anggota dari unit mencari dan menyelamat jabatan itu selain anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah, Harun Tahir memberitahu Bernama bahawa operasi itu akan diteruskan jika ada petunjuk mangsa masih berada di kawasan hutan berdekatan.

"Operasi akan diteruskan esok jika difikirkan perlu, kerana sekitar kawasan yang dikatakan menjadi kawasan laluan mangsa sudah diperiksa termasuk di kawasan sungai tetapi masih gagal," katanya.

Operasi mencari pada Rabu terganggu baberapa kali akibat hujan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain