suria

Lelaki Hilang Sehari Sebelum Raya Di Baling Ditemui Hari Ini

BALING: Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Kampung Becah Sawa, Siong di sini sejak seminggu lepas ditemui tidak jauh dari rumahnya dalam keadaan selamat pada Khamis.

Wateh Abdullah ditemui dalam keadaan keletihan oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 1.45 tengah hari.

Mangsa disedari hilang dari rumahnya pada petang hari Khamis, sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Kehilangan Wateh disedari salah seorang anaknya yang datang menghantar makanan kepadanya pada hari berkenaan.

Dia yang tinggal seorang diri di sebuah rumah berdekatan dengan Masjid Kampung Becah Sawa dikatakan tidak begitu gemar menemui orang ramai dan sering bersikap mengasingkan diri sejak beberapa tahun ini.

Abang mangsa, Mat Piah Abdullah, 62, berkata dia dan keluarga bersyukur dengan penemuan semula Wateh.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari Wateh sejak tiga hari lalu," katanya kepada Bernama.

Sejak kehilangan adiknya itu, usaha mencari secara besar-besaran dilancar melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk unit anjing pengesan (K9) dan 18 anggota daripada unit mencari dan menyelamat selain anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk tempatan.

Sementara itu Wateh enggan ditemui orang ramai dan berada di dalam rumahnya seorang diri sejak dibawa pulang sebaik ditemui. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain