suria

Azmin Sah Bertanding Jawatan Timbalan Presiden

KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengesahkan keputusannya untuk bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu.

Laporan Malaysiakini menyebut, Azmin berkata, keputusannya itu bagaimanapun tidak akan sesekali memecahkan PKR kerana ia dilakukan dalam 'suasana sihat dan penuh semangat kekeluargaan'.

"Saya tidak setuju pemilihan ini akan pecahkan parti kerana kita akan melangsungkan pemilihan kepimpinan ini dalam suasana sihat dan semangat kekeluargaan sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

"Kita ambil langkah berani utuk beri kuasa dan mandat kepada anggota untuk buat pilihan. Ini bukan kali pertama kita membuat pemilihan (parti)," katanya.

Azmin berkata demikian apabila ditanya mengenai pertembungannya dengan penyelaras Pakatan Rakyat Zaid Ibrahim untuk jawatan nombor dua itu.

Beliau menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden PKR setelah penyandangnya Syed Husin Ali membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti, anggota-anggota, termasuk perbincangan terus dengan Syed Husin.

Dalam sidang akhbar di sini, Khamis, Azmin yang juga bekas setiausaha sulit Anwar Ibrahim juga enggan menyentuh tentang 'taktik' Zaid sebagai pesaingnya.

Azmin bagaimanapun menegaskan pemilihan parti kali ini harus mampu menjana perubahan untuk pilihan raya umum yang akan datang serta bebas daripada politik wang.

"Kita mahukan pemilihan yang adil," katanya yang juga wakil rakyat Gombak dan Bukit Antarabangsa.

Ditanya tentang 'pasukan regunya' dalam pemilihan ini, Azmin hanya menjawab:

"Kesemua anggota (PKR) adalah team saya, tiada yang terkecuali kerana ini adalah pemilihan yang adil. Tidak ada soal pasukan ini atau pasukan itu."

* sumber www.malaysiakini.com

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain