suria

Persidangan DUN Khas Tetapkan Elaun Seumur Hidup Sultan Ismail

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menetapkan jumlah elaun seumur hidup yang bakal diterima oleh Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra setelah tidak lagi menjadi Sultan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias berkata persidangan itu akan diadakan sebelum akhir bulan ini mengikut perkara 23A Undang-undang perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini.

Bercakap pada persidangan media di pejabatnya di sini, Rabu, beliau turut menafikan kenyataan Anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Datuk Shukri Mohamed yang disiarkan di akhbar pada Rabu menyebut gelaran Tuanku (kepada kepada Sultan Ismail) dan Tengku kepada (Raja Perempuan Anis) digugurkan.

"Beliau (Shukri) telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan, beliau telah menulis surat kepada akhbar tersebut hari ini meminta menarik balik kenyataan tersebut dan beliau telah membuat laporan polis," katanya.

Sebaliknya Mohd Aiseri berkata, gelaran "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan" akan diganti kepada "Duli Yang Maha Mulia Sultan" setelah tidak lagi menjadi Sultan Kelantan.

Beliau meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara itu bagi mengelak sebarang kekeliruan di sebalik isu yang berlaku di Kelantan sekarang.

Mengikut undang-undang perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini, dalam Perkara 23A yang dipinda pada 2 September lepas perkara 23(A)(a) sekira Raja telah diganti dengan seorang pengganti mengikut Fasal (1) maka baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi raja dan telah menarik diri daripada negeri ini dan hak-hak dan tuntutan.

Bagaimanapun dengan syarat bahawa hendaklah baginda berhak mendapat elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, elaun itu tidak kurang daripada separuh jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya sebagai Sultan semasa baginda memerintah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

18 Maut Hari Ke-11 Ops Sikap Ke-22

Artikel Lain