suria

Tiga Anggota Geng Kali Ditahan Di Bukit Mertajam

NIBONG TEBAL: Tiga anggota Geng Kali yang dipercayai terlibat dengan kes samun di sekitar Seberang Perai ditahan di sebuah rumah teres di Bukit Mertajam pada Jumaat lepas.

Dengan tertangkapnya tiga lelaki terbabit yang berumur antara 25 hingga 26 tahun, polis percaya dapat menyelesaikan kira-kira 30 kes samun yang melibatkan kerugian lebih RM30,000.

Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Shafien Mamat.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk menyamun daripada suspek.

"Siasatan polis mendapati suspek merupakan anggota kumpulan Geng Kali yang aktif melakukan jenayah samun di sekitar Seberang Perai," kata Shafien.

Dalam satu kes berasingan, polis menahan tiga lelaki warga asing yang berumur antara 32 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan.

Shafien berkata kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua warga Iran dan seorang warga Turki ditahan dalam sebuah kereta ketika sedang menuju ke Jalan Jetty Bagan juga pada Jumaat lalu.

"Polis merampas mata wang Amerika, Iran dan Dubai sementara kereta yang disewa oleh suspek turut dirampas," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek didapati masuk ke negara ini sebagai pelancong dan menginap di sebuah hotel mewah di Batu Feringghi.

"Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menimbulkan provokasi dengan mangsa sebelum mereka mencuri wang milik mangsa tanpa mangsa menyedarinya," katanya. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain