suria

Syed Husin Tidak Akan Pertahankan Jawatan Timbalan Presiden PKR

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr Syed Husin Ali, 74, tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini.

Syed Husin yang dilantik sebagai senator tahun lalu memegang jawatan ini selama dua penggal apabila pengabungan kedua-dua parti itu membentuk PKR.

Beliau juga pernah menerajui Parti Rakyat Malaysia sebelum partinya bergabung dengan KeAdilan pada 2003.

Sementara itu dua nama yang bakal merebut jawatan nombor dua dalam parti ini ialah naib presiden parti, Azmin Ali dan ahli majlis tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim.

Syed Husin berkata beliau mengambil keputusan itu setelah berbincang dengan keluarga, beberapa orang pemimpin parti dan juga sahabat rapatnya.

Beliau berkata ramai pemimpin Pusat, Negeri, Cabang dan anggota biasa menggesanya agar bertanding tetapi hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden sudah lama dibayangkan.

"Saya tidak menghadapi tekanan untuk berundur daripada parti... sekiranya tertekan adalah menjadi tanggungjawab moral saya untuk memaklumkan kepada parti," katanya pada sidang media mengenai kedudukannya dalam pemilihan parti akan datang di sini, Selasa.

Bagaimanapun, ahli politik itu berkata beliau tidak akan meninggalkan politik sepenuhnya dan masih akan bergiat aktif dalam bidang politik sebagai ahli biasa. "Politik dan perjuangan untuk rakyat sudah menjadi darah daging saya. Oleh itu tidak mudah bagi saya meninggalkannya begitu sahaja," katanya.

Ditanya mengenai calon yang bakal bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, Syed Husin berkata terserah kepada anggota-anggota parti untuk memilih calon dan menentukan pemimpin yang mereka mahu.

"Tetapi minimum calon yang akan bertanding adalah dua dan maksimum lima calon," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain