suria

Sambutan Hari Malaysia Lahirkan Sentimen Positif

KOTA KINABALU: Pengiktirafan Hari Malaysia dan sambutan peringkat kebangsaannya yang julung kali diadakan pada tahun ini, adalah untuk memastikan sentimen positif bukan saja pada tarikh merdeka iaitu 31 Ogos tetapi juga bagi tarikh 16 September, setiap tahun.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mulai tahun ini, penonjolan ini sudah diberi dan sentimen ini harus dikekalkan pada masa akan datang.

"Ini buat pertama kalinya negara kita menerusi kerajaan persekutuan, dengan persetujuan kerajaan negeri mengiktiraf secara rasmi Hari Malaysia disambut pada 16 September. Jadi kita jangan hanya melahirkan sentimen positif terhadap merdeka, 31 Ogos tetapi juga 16 September setiap tahun.

"Tahun-tahun hadapan, kita akan olahkan lagi bagaimana kedua-dua tarikh ini menjadi tarikh keramat kenegaraan kita," katanya selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, dekat sini Selasa.

Beliau berkata semua rakyat perlu meraikan Hari Malaysia kerana ini merupakan tanah air yang telah dibina bersama, tanpa mengira latar belakang, agama, kebudayaan dan pegangan politik.

"Kita harus sematkan mesej ini. Sama ada seseorang itu pemimpin ataupun pengikut parti kerajaan ataupun pembangkang, kita mestikan cintakan perayaan ini sebagai perayaan ini sebagai perayaan tanahair kita," tegas Rais.

Sehubungan itu beliau berkata rakyat tidak boleh membiarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba merosakkan imej murni tersebut.

Mengenai raptai malam Selasa, katanya terdapat beberapa olahan yang mungkin boleh diperbaiki supaya imej dan mesej bagi wilayah Sarawak, Sabah dan Semenanjung itu bertepatan dan mendapat perhatian yang lebih meluas.

"Yang penting di sini ialah, paparan itu memberi erti kepada rakyat kita... Ertinya kepada kita di Sabah, ertinya di Sarawak dan di Semenanjung.

"Pada keseluruhannya, kita lihat ini satu paparan yang sangat menarik dan diharapkan pada 16 September nanti, paparan mesej dan beberapa segmen yang kita buat teguran tadi dapat dimasukkan sekali," tambah beliau.

Ditanya apakah harapan beliau terhadap jumlah pengunjung ke sambutan tersebut nanti, Rais menjawab:" Soal jumlah kunjungan tidak begitu penting, tapi kita diberitahu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, padang ini akan penuh sesak oleh masyarakat...Kami yakin malam 16 September ini, kita akan dapat satu kumpulan yang berasak-asak untuk datang bersama-sama.

"Saya fikir pelancong pun akan tertarik dan mereka akan turut serta menyaksikan." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain