suria

Operasi Cari Pelajar PSDC Yang Hilang Di Sungai Pahang Dihentikan

KUANTAN: Operasi mencari pelajar Kolej Pahang Skills Development Centre (PSDC) yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Serambi, Pekan, sejak petang semalam, dihentikan pukul 7 malam ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan Deputi Supritendan (DSP) Amran Sidek berkata gerakan mencari pelajar berkenaan Hasif Hariri, 20, akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.

Beliau berkata hari ini pasukan penyelamat meluaskan kawasan pencarian sehingga lima kilometer dari tempat Hasif dikatakan terjatuh semalam.

"Anggota bagi operasi mencari Hasif turut ditambah menjadi 115 orang dari pelbagai agensi penyelamat yang berkaitan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lagi bot penyelamat tiba ke kawasan sekitar lokasi kejadian hari ini bagi membantu operasi mencari pelajar itu, menjadikan 30 bot penyelamat kini berada di kawasan itu.

Dalam kejadian 4 petang semalam, Hasif yang pulang beraya di rumah neneknya di Pekan, pergi menyiang ikan di sungai berkenaan bersama empat lagi rakannya, apabila beliau dikatakan terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus deras. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain