suria

Harga Saham Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR: Harga-harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi Selasa lebih tinggi, didahului oleh saham-saham kewangan.

Ia didorong oleh maklum balas positif yang diberikan terhadap garis panduan sektor perbankan baharu dan pengukuhan ringgit, kata para peniaga.

Pada rehat tengah hari, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia Kuala Lumpur (FBM KLCI) menokok 11.47 mata kepada 1,468.43, rekod untuk tahun ini.

Indeks FBM KLCI dibuka 0.66 mata lebih tinggi pada 1,457.62.

"Belian di keseluruhan pasaran mengukuh memandangkan sentimen penanda aras kekal rancak, dengan Genting dan Public Bank mengatasi senarai untung," kata seorang peniaga.

OSK Research berkata pengukuhkan ringgit dan data ekonomi positif China/AS serta pengumuman garis panduan Basel III untuk sektor perbankan menambahkan lagi rangsangan yang telah sedia ada di pasaran Isnin.

Sementara itu, ECM Libra Investment Research berkata bank-bank Malaysia mampu memenuhi syarat modal baharu di bawah Basel III tanpa perlunya menaikkan modal dan/atau mengurangkan agihan dividen.

Dalam laporan berkata beberapa bank tertentu dengan nisbah ekuiti bersama tinggi sedikit berbanding tujuh peratus yang dikehendakki boleh mengguna pakai pendirian yang lebih berhemat dan meningkatkan modal ekuiti bersama mereka.

"Public Bank dan AMMB dengan nisbah ekuiti bersama, masing-masing 7.6 peratus dan 7.7 peratus jatuh di dalam kategori ini," katanya.

Indeks Kewangan melonjak 135.75 mata kepada 13,296.04 dan Indeks Perladangan naik 46.93 mata kepada 6,917.19.

Indeks Perusahaan, bagaimanapun, turun 5.55 mata kepada 2,793.79.

Indeks FBM Emas lebih tinggi 64.24 mata kepada 9,797.13, FBM70 naik 24.02 mata kepada 9,557.87 dan Indeks FBM Ace mengukuh 9.47 mata kepada 3,780.6.

Jumlah dagangan ialah 600.111 juta saham bernilai RM1.062 juta.

Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 428 berbalas 238, sementara 261 kaunter tidak berubah, 432 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Di kalangan saham aktif, ETI Tech mengembang 1.5 sen kepada 28.5 sen, Time DotCom susut 3.5 sen kepada 62.5 sen dan Carotech bergerak naik setengah sen kepada 8.5 sen. Genting pula menokok 37 sen kepada RM9.94, Public Bank meningkat 30 sen kepada RM12.60 dan QSR Brand serta Panasonic naik 28 sen kepada RM5.01 dan RM21.48.

Di kalangan yang berwajaran tinggi, Maybank melonjak 11 sen kepada RM8.62, CIMB Group menambah sembilan sen kepada RM8.14, Sime Darby berkurangan empat sen kepada RM8.29 dan Maxis kerugian satu sen kepada RM5.35.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain