suria

Golongan Muda Perlu Hayati Nikmat Pembentukan Malaysia

KOTA KINABALU: Rakyat negara ini terutama golongan muda perlu mengekalkan perpaduan serta menghayati nikmat pembentukan negara Malaysia.

Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang menyambut baik keputusan kerajaan merayakan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini Khamis ini, berkata sambutan seumpama itu pasti akan menyemarakkan lagi semangat kekitaan serta keharmonian di kalangan rakyat pelbagai kaum.

"Oleh itu, marilah kita sama-sama merayakan Hari Malaysia dengan penuh semangat kenegaraan supaya kita boleh terus hidup aman, damai dan bersatu padu di bumi tercinta ini," katanya di sini, Selasa.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menyeru wanita muda untuk sama-sama menjayakan Hari Malaysia yang julung kali diadakan itu sebagai memperingati sejarah dan pengorbanan pemimpin lampau yang menjayakan pembentukan Malaysia.

Acara kemuncak sambutan Hari Malaysia itu ialah upacara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia yang dijadual disertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Ia dijangka dihadiri lebih 12,000 orang.

Buku khas bersalutkan emas itu memperingati catatan sejarah Hari Malaysia sehingga 100 tahun akan datang.

Mengikut aturcara, Perdana Menteri dijadual menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia yang akan disiarkan secara langsung oleh RTM bermula pukul 8.30 malam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain