suria

Warga Kota Pulang Daripada Berhari Raya, Aliran Trafik Sesak

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa laluan utama di Lebuhraya Utara-Selatan mengalami kesesakan teruk berikutan warga kota kembali selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Pegawai Eksekutif Pusat Kawalan Trafik Plus Juhaimy Harun berkata antara laluan terbabit ialah dari kawasan rehat dan rawat Tapah ke Slim River yang sesak sepanjang 47.5 kilometer, menyaksikan ribuan kereta terperangkap berjam-jam.

"Laluan tersebut sesak teruk hinggakan kadang-kadang tidak bergerak langsung manakala trafik dari Simpang Pulai ke Gua Tempurung dan Butterworth ke Juru, juga bergerak perlahan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kesesakan trafik juga dilaporkan berlaku sekitar Hentian Sebelah Bukit Gantang ke Kuala Kangsar seterusnya ke Sungai Perak dan dari arah selatan dari kawasan rehat dan rawat Seremban ke Nilai.

"Kelancaran aliran trafik mula terganggu dari pukul 3 petang dan dijangka meningkat lagi pada tengah malam ini... trafik sentiasa bertali arus di kebanyakan kawasan," katanya.

Sementara itu, laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia melaporkan aliran trafik perlahan di KM 114.2 hingga KM 112.0 akibat kemalangan di antara Juru dan Bukit Tambun yang melibatkan sebuah kereta terbabas di lorong kecemasan.

Menurut laman web tersebut trafik turut perlahan dari Juru ke Bukit Tambun, terowong Jelapang ke Ipoh dan Rawang Selatan ke Hospital Sungai Buloh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain