suria

Perunding Hartanah Didenda RM20,000 Gagal Serahkan Anak Kepada Bekas Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang perunding hartanah didenda RM20,000 kerana menghina mahkamah selepas dia gagal menyerahkan anak perempuannya berusia 11 tahun kepada bekas isterinya seperti yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini kira-kira 3.45 petang ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Yeoh Wee Siam memerintahkan Low Swee Siong supaya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Yeoh turut memerintahkan Low, 40, supaya membayar denda RM400 bagi setiap hari dia menangguhkan penyerahan kanak-kanak itu, Bi-Ann dan pasportnya, kepada bekas isterinya Tan Siew Siew, 37.

Low kehilangan hak penjagaan kanak-kanak itu pada 2008.

Yeoh turut menolak permohonan peguam Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam untuk penangguhan sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan mahkamah hari ini berikutan bantahan peguam Kiran Dhaliwal, yang mewakili Tan.

Pada mulanya, mahkamah menetapkan 11 pagi ini untuk Low menyerahkan kanak-kanak itu tetapi membuat keputusan pagi tadi untuk melanjutkan masa hingga 3.45 petang untuk membolehkannya mengemukakan kanak-kanak perempuan itu di mahkamah.

Dalam keputusannya, Yeoh berkata mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan Low berhubung kelewatan dan lokasi kanak-kanak perempuan itu serta mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadapnya.

Perebutan hak penjagaan itu mendapat tumpuan media pada 13 Ogos apabila tiga hakim Mahkamah Rayuan silih berganti memujuk Bi-Anne untuk tinggal bersama-sama ibunya yang kini bekerja sebagai pengurus restoran di London.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu enggan dan berkeras untuk tinggal bersama-sama bapanya yang berkahwin dengan ibunya pada 2 Ogos, 1999 sebelum bercerai pada 19 Jun 2006.

Pada penghujung 2006, Mahkamah Tinggi membenarkan hak penjagaan Bi-Anne kepada bapanya namun selepas mengemukakan rayuan dua tahun kemudian, ibunya diberi hak penjagaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Low menemui Bi-Anne bagi tempoh yang munasabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Low dibawa ke Penjara Kajang apabila dia gagal membayar denda sebelum kaunter ditutup pada 4.30 petang.

Peguam Ravi berkata beliau akan membantu anak guamnya untuk membayar denda RM20,000 dan RM400 bagi hari pertama gagal mengemukakan kanak-kanak itu seperti yang diarahkan oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain